UNTUNG BERSIH TOP GLOVE PADA Q3 MENJUNAM KEPADA RM15.29 JUTA AKIBAT TEKANAN KOS

09 June 2022 / 12:06

KUALA LUMPUR 9 Jun - Untung bersih Top Glove Corp. Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 (Q3) menjunam kepada RM15.29 juta daripada RM2.04 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

Ia menyaksikan pendapatan pada suku tersebut juga susut kepada RM1.46 bilion berbanding daripada RM4.16 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mei 2022, untung bersihnya juga merosot kepada RM288.56 juta daripada RM7.26 bilion manakala pendapatan susut kepada RM4.5 bilion berbanding RM14.29 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.  

Pada suku ketiga, harga purata lateks pekat getah asli meningkat 17% suku ke suku kepada RM6.50 per kilogram (kg) manakala harga purata lateks nitril ialah AS$1.11/kg, 3% lebih rendah berbanding suku kedua.

Ekoran persekitaran yang mencabar, kumpulan mencapai peningkatan 6% bagi jumlah jualan berbanding suku sebelumnya, disebabkan pemulihan jualan ke Amerika Syarikat (AS) dari Malaysia dan juga rantau lain.

Prestasi yang lebih lemah itu berlaku di tengah-tengah ketidaktentuan, dengan kos pengeluaran meningkat disebabkan inflasi global memandangkan konflik Rusia-Ukraine meningkatkan harga minyak mentah.

Selain itu, kumpulan menghadapi kenaikan tarif gas asli dan elektrik, serta pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa 1 Mei 2022.  Peningkatan kos mengakibatkan pemampatan margin, kerana kumpulan tidak dapat memindahkan kos sepenuhnya dengan keadaan bekalan yang berlebihan.

Bagaimanapun, harga jualan purata (ASP) sedang menurun pada kadar yang lebih perlahan, dapat membantu mengurangkan kesan kos pada masa hadapan. 

Tambahan pula, jualan ke AS dari Malaysia terus meningkat pada suku ketiga, 8% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya, dan lebih berpotensi untuk pertumbuhan selanjutnya memberi petanda baik kepada kumpulan.

Mengulas mengenai prestasi kewangan pada suku ketiga itu, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow dalam kenyataan berasingan menyifatkan ia adalah masa yang sangat mencabar bagi industri sarung tangan getah.

Katanya, keputusan suku tersebut tidak mencerminkan prestasi perniagaan biasa kumpulan disebabkan trend normalisasi yang berterusan ditambah dengan ketidakseimbangan permintaan bekalan.

Bagaimanapun, kami akan terus menekankan pada asas kami, menghasilkan produk berkualiti dengan kos yang cekap, tetap menjadi keutamaan kami pada masa yang baik mahupun sukar," katanya. 

Beliau juga menjangkakan persekitaran perniagaan Top Glove akan terus mencabar dalam masa terdekat, tetapi menekankan keadaan ini adalah sementara.

"Tetapi, kami percaya prospek industri sarung tangan masih positif kerana sarung tangan tetap menjadi keperluan asas dalam sektor penjagaan kesihatan.

"Kami yakin permintaan akan terus meningkat dengan peningkatan penggunaan dari pasaran baru di mana asas penggunaan sarung tangan agak rendah, ditambah dengan tahap kesedaran kebersihan dan kesihatan yang lebih tinggi dalam era pasca pandemik," jelasnya.

DagangNews

 

More News