TOP GLOVE CATAT UNTUNG BERSIH RM50.67 JUTA BAGI SUKU KETIGA

19 June 2024 / 12:06

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM50.67 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024, berbanding kerugian bersih RM130.59 juta bagi suku sama tahu n sebelumnya.

Ini adalah untung bersih suku tahunan pertama syarikat pembuat sarung tangan terbesar itu sejak merekodkan rugi bersih pada suku keempat tahun kewangan 2022.

Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, prestasi lebih baik setelah mengambil kira hasil daripada penjualan tanah berlebihan.

Suku yang memberangsangkan juga didorong terutamanya oleh permintaan sarung tangan yang lebih kuat berikutan pelanggan mengisi semula inventori sarung tangan mereka selepas mengosongkan stok berlebihan.

Bagi suku yang sama, kumpulan mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM637 juta, peningkatan 16 peratus suku ke suku dan 20 peratus tahun ke tahun.

Kerugian operasinya berkurangan kepada RM34 juta daripada kerugian RM59 juta pada suku kedua 2024, mewakili peningkatan 42 peratus.

Sementara itu, volum jualan yang telah meningkat sejak suku keempat tahun kewangan 2023 meneruskan aliran menaiknya, meningkat 13 peratus berbanding suku kedua 2024. 

Utusan Malaysia

Link: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2024/06/top-glove-catat-untung-bersih-rm50-67-juta-bagi-suku-ketiga/

More News