TOP GLOVE KEMBALI CATAT KEUNTUNGAN PADA 3Q BERIKUTAN PERMINTAAN LEBIH KUKUH SARUNG TANGAN

19 June 2024 / 12:06

KUALA LUMPUR 19 Jun - Top Glove Corp Bhd kembali mencatat keuntungan pada suku kewangan ketiga berakhir 31 Mei 2024 (3QFY2024), selepas rugi bagi tujuh suku terakhir berturutturut, terutamanya didorong oleh permintaan sarung tangan yang lebih kukuh apabila pelanggan menambah semula inventori sarung tangan mereka.

Top Glove mencatatkan keuntungan bersih RM50.67 juta berbanding kerugian bersih RM130.59 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, menurut maklumannya di Bursa Malaysia hari ini.

Hasil suku tahunan meningkat 20% kepada RM636.88 juta daripada RM530.62 juta sebelumnya, berasaskan tahun ke tahun (y-o-y).

Kerugian operasinya pada 3QFY2024 berkurangan ke RM34 juta daripada kerugian RM59 juta pada 2QFY2024, mewakili peningkatan 42%.

Sementara itu, Volum Jualan yang telah meningkat sejak 4QFY2023 meneruskan aliran menaiknya, meningkat 13% berbanding 2QFY2024, mencerminkan pemulihan mantap Kumpulan.

Kumpulan juga mencapai Keuntungan Selepas Cukai yang kukuh sebanyak RM62 juta, meningkat 255% berbanding dengan 2QFY2024 dan 152% lebih tinggi daripada suku yang sama pada FY2023. Peningkatan keuntungan tersebut mengambil kira hasil daripada penjualan tanah berlebihan.

Lim Cheong Guan

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, syarikat berbesar hati melihat syarikat kembali mencatat untung pada suku ini apabila industri sarung tangan bertukar arah.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan permintaan sarung tangan apabila pesanan pelanggan bersambung semula, di samping usaha intensif untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kos kami, serta keuntungan daripada penjualan lebihan tanah," kata  dalam satu kenyataan berasingan.

Mencerminkan komitmen berterusan terhadap kemampanan, Top Glove memperoleh skor yang amat terpuji dalam Penilaian Risiko ESG oleh Sustainalytics, menduduki tempat pertama daripada 643 syarikat dalam industri Penjagaan Kesihatan, tempat pertama daripada 58 syarikat dalam sub industri Perubatan, serta tempat ke-91 di antara 16,215 syarikat di seluruh industri, pada skala global bertarikh 19 Jun 2024.

Sustainalytics, yang beribu pejabat di Amsterdam merupakan firma penyelidikan, penilaian dan analitik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) korporat terkemuka yang menilai kemampanan syarikat syarikat tersenarai berdasarkan prestasi ESG mereka.

Selain itu, Top Glove kekal komited untuk memastikan memenuhi sepenuhnya obligasi baharu di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang akan berkuat kuasa pada 30 Disember 2024.

Perjalanan pematuhan Kumpulan berjalan dengan lancar dan mengikut jadual, dengan hantaran pertama sarung tangan getah asli yang serasi dengan EUDR dijangka pada Julai 2024. 

Pada 18 Jun 2024, Top Glove turut dimasukkan dalam senarai sulung Asia Tenggara 500 majalah Fortune, yang menyenaraikan syarikat terbesar di rantau ini berdasarkan Pendapatan FY2023 mereka.

"Menunju ke arah pemulihan yang lebih mampan bagi industri sarung tangan dan ekonomi Malaysia, Kumpulan juga berharap pelaksanaan dasar pekerja asing yang lebih jelas dan konsisten, membolehkan syarikat korporat untuk merancang pengambilan pekerja dengan lebih baik mengikut keperluan tenaga kerja," kata Top Glove.

DagangNews.com  

Link: https://www.dagangnews.com/article/top-glove-kembali-catat-keuntungan-pada-3q-berikutan-permintaan-lebih-kukuh-sarung-tangan-38204

More News