PERANG RUSIA-UKRAINE BERI KESAN MINIMUM KE ATAS JUALAN TOP GLOVE

09 March 2022 / 12:03

KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Perang Rusia-Ukraine memberi kesan minimum ke atas pembuat sarung tangan, Top Glove Corporation Bhd, memandangkan kedua-dua negara terbabit hanya menyumbang kurang daripada 5.0 peratus kepada nilai jualan kumpulan.

Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Lim Wee Chai berkata secara dasarnya, langkah mitigasi yang perlu telah dilaksanakan pihaknya.

“Bagaimanapun, apa yang turut lebih penting adalah mengekalkan jalinan erat dengan pelanggan, bagi memastikan kami hanya mengalami gangguan kecil dalam penawaran barangan yang penting untuk misi kemanusiaan, tujuan perubatan dan lain-lain,” katanya pada Rabu. 

Beliau berkata demikian semasa taklimat media dan analisis secara maya mengenai prestasi kewangan Top Glove bagi suku kedua berakhir 28 Feb, 2022.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Datuk Lee Kim Meow berkata pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati terutama dari segi pembayaran susulan perkembangan dalam industri perbankan di negara berkenaan. “Kami kekal menjalinkan hubungan erat dengan para pelanggan untuk mencari cara terbaik dalam menguruskan situasi terbabit,” katanya.

Keuntungan bersih Top Glove merosot 97 peratus kepada RM87.55 juta pada suku kedua, daripada RM2.87 bilion semasa suku yang sama tahun kewangan 2021 manakala perolehan susut 73 peratus kepada RM1.45 bilion daripada RM5.37 bilion bagi tempoh yang sama, berikutan harga jualan purata (HJP) ternormal kepada hampir paras sebelum pandemik berlaku.

Beliau berkata HJP dijangka menghampiri paras terendah sebelum meningkat kembali dan industri boleh menyaksikan peningkatan harga da[am tempoh beberapa suku akan datang.

Terdahulu dalam taklimat itu, Lee berkata jumlah jualan bagi Amerika Syarikat (AS) oleh Top Glove melonjak 220 peratus setakat ini setelah jualannya terus pulih apabila AS menarik balik sekatan import pada September 2021.

Sekatan tersebut disebabkan dakwaan berlakunya penggunaan buruh paksa dalam operasi Top Glove.

Top Glove mengumumkan pihaknya telah menyelesaikan semua isu berkaitan dalam pengoperasiannya.

Beliau berkata pada September 2021, jualan Top Glove bagi pasaran AS merangkumi 4.0 peratus daripada jumlah jualan global kumpulan dan pada Februari 2022, jualan di AS meningkat untuk menyumbang 13 peratus kepada jumlah jualan global kumpulan.

“Terdapat lebih banyak peluang pertumbuhan untuk kami manfaat bagi jualan di AS,” katanya. -- BERNAMA

Bernama

More News