TOP GLOVE TERUSKAN PENYENARAIAN DI HONG KONG PADA WAKTU YANG SESUAI

09 March 2022 / 12:03

KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Top Glove Corporation Bhd akan terus memantau keadaan pasaran dan meneruskan pelaksanaan penyenaraian di Hong Kong pada masa yang sesuai, mengambil kira perkembangan dalam pasaran kewangan global.

Pembuat sarung tangan getah terbesar dunia itu berkata demikian dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bagi menjelaskan artikel berita semalam yang melaporkan mengenai kelewatan tawaran awam permulaan di Hong Kong syarikat itu. 

“Keputusan syarikat sentiasa untuk faedah jangka panjang syarikat dan pemegang kepentingannya,” katanya, mengulangi kenyataannya semalam.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada media pada Selasa, Top Glove berkata ia telah memutuskan memberi lebih banyak masa untuk meneruskan penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) berikutan "perubahan perkembangan dalam industri dan keadaan pasaran ekuiti semasa."

“Kami tidak tergesa-gesa. Keputusan kami sentiasa untuk faedah jangka panjang syarikat dan pihak berkepentingan kami,” tambahnya.

Pada 8 Dis 2021, Top Glove berkata ia menjangkakan penyenaraian yang dicadangkan di HKEX itu akan diselesaikan pada suku pertama 2022. 

Bernama

More News