TOP GLOVE RUGI RM168.24 JUTA PADA SUKU PERTAMA, CATAT KERUGIAN KALI KEDUA BERTURUT-TURUT

14 December 2022 / 12:12

KUALA LUMPUR 14 Dis - Top Glove Corp Bhd. mencatat kerugian bersih sebanyak RM168.24 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2022, buat kali kedua berturut-turut ekoran jualan yang lebih rendah dan normalisasi harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah secara berterusan. 

Berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM185.72 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

Bagi perbandingan suku ke suku, kerugian pada suku pertama itu terus meningkat daripada RM52.59  juta yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Pada masa sama, pendapatan pada suku pertama itu juga merosot kepada RM632.53 juta daripada RM1.611 bilion disebabkan ketidaktentuan yang masih berterusan dalam industri sarung tangan getah.

Prestasi kewangan yang kurang memberangsangkan itu berpunca daripada ketidakseimbangan bekalan/permintaan yang menyaksikan pelanggan menangguhkan aktiviti pesanan semula sedangkan mereka terus mengurangkan inventori sarung tangan sedia ada.

Ini  ditambah dengan kekurangan keperluan mendesak untuk membuat pesanan memandangkan kapasiti pengeluaran yang berlebihan dalam industri tersebut.

Selain itu, ASP untuk sarung tangan juga diselaraskan secara berterusan selain menghadapi persaingan yang semakin sengit, terutama daripada pengeluar sarung tangan serantau, menambah kepada keadaan permintaan sarung tangan yang rendah.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, kumpulan beroperasi di tengah-tengah beberapa cabaran yang telah melanda industri sejak enam bulan lalu.

"Kami telah menjangkakan ini sebagai sebahagian daripada proses normalisasi yang akan mendahului pemulihan kumpulan," katanya.

Menurutnya, kumpulan mendapati penuruan ASP sarung tangan getah semakin perlahan, menunjukkan aliran menurun tidak akan berterusan selama-lamanya. 

Malah, katanya, Top Glove juga dijangka memperoleh beberapa manfaat daripada trend penurunan harga bahan mentah, di mana purata harga lateks pekat asli telah menurun sebanyak 7% kepada RM4.73 sekilogram dan harga lateks nitril telah menurun sebanyak 49% kepada AS$0.91 sekilogram tahun ke tahun.  

"Kumpulan yakin prospek jangka panjang bagi industri sarung tangan kekal positif, berikutan peningkatan dalam permintaan sarung tangan sebanyak 10% setiap tahun.

"Ini didorong oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan selepas pandemik," jelasnya.

Dagang News

More News