Bagi prestasi setahun penuh tahun kewangan 2024, Top Glove mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM2.52 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun kewangan 2023.
Kerugian selepas cukai, yang mengambil kira keuntungan daripada penjualan tanah, turut menurun dengan ketara kepada RM18 juta, peningkatan kukuh sebanyak 98 peratus berbanding tahun kewangan 2023.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan sepanjang tahun berjumlah RM251 juta, berubah menjadi positif dengan peningkatan sebanyak 261 peratus berbanding tahun kewangan 2023.
Jumlah jualan turut meningkat sebanyak 19 peratus disokong peningkatan permintaan apabila pelanggan terus mengisi semula inventori sarung tangan, yang membawa kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi, selain kos kumpulan yang lebih cekap.
Kumpulan menyaksikan pertumbuhan yang sangat kukuh di Amerika Syarikat (AS), apabila jumlah meningkat 120 peratus suku ke suku, didorong oleh bilangan tinggi sarung tangan pengeluar asing yang termasuk dalam senarai amaran import Pentadbir Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS.
Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan, berkata dengan pengenaan tarif tinggi yang bakal dilaksanakan oleh AS ke atas sarung tangan perubatan buatan China, kumpulan menjangkakan peningkatan yang lebih besar dalam pertumbuhan jumlah jualan pada suku-suku yang akan datang.
"Prestasi kewangan kumpulan telah meningkat dengan ketara sepanjang tahun kewangan 2024, membawa kami lebih dekat kepada titik pulang modal. EBITDA setahun penuh kami adalah positif sementara pertumbuhan jumlah jualan terus mantap.
"Ini adalah petunjuk yang kukuh terhadap kebangkitan pasaran dan kami berada dalam posisi yang baik untuk meraih gelombang pemulihan.
"Kemajuan konsisten kami didorong oleh inisiatif penambahbaikan yang berterusan. Dengan sokongan berterusan daripada kakitangan, kami yakin berada di landasan yang tepat menuju keuntungan dan pertumbuhan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan prestasi semasa, Top Glove mencadangkan terbitan bonus sehingga 405,964,951 waran berdasarkan satu waran untuk setiap 20 saham syarikat sedia ada, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Januari 2025.
Waran berkenaan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun dari tarikh terbitan, dan harga pelaksanaan akan diumumkan pada tarikh yang akan datang.
Berita Harian