TOP GLOVE SYARIKAT PERTAMA DAPAT LESEN DASAR PELEPASAN SIFAR

20 September 2024 / 12:09

KLANG, 20 SEPT: Top Glove Sdn Bhd (Top Glove) menjadi syarikat industri pertama di Selangor menerima lesen Dasar Pelepasan Sifar (ZDP), yang diwarta Kerajaan Negeri pada 20 Jun lalu.

EXCO alam sekitar berkata langkah proaktif Top Glove dalam mengurus dan mengawal selia kuantiti serta kualiti sumber air wajar dicontohi semua pemain industri demi menjaga alam sekitar.

“Selangor negeri pertama memperkenal polisi ini bagi mencegah pencemaran sungai dan sumber air untuk mengurangkan beban berikutan ada kawalan kuantiti dan kualiti,” kata Jamaliah Jamaludin.

Beliau ditemui selepas menyerahkan lesen kepada Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan di Rumah Pam Loji Rawatan Air Top Glove di Meru di sini, hari ini.

 

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin melawat rumah pam loji rawatan air Top Glove Sdn Bhd selepas program penyerahan lesen Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) di Klang pada 20 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, polisi itu turut menarik minat negeri lain seperti Pulau Pinang, yang akan mengadakan lawatan rasmi minggu depan bagi mendapatkan maklumat lanjut inisiatif tersebut.

“Selangor memandang usaha ini sebagai langkah positif kerana ia demi kebaikan penjagaan alam sekitar, sekali gus pelaburan pada masa akan datang,” katan Jamaliah.

Sementara itu, Cheong Guan berkata Top Glove memperuntuk RM2.4 juta untuk membina loji sisa buangan daripada kilang dalam usaha menjaga sumber air dan mengurangkan pembaziran.

“Kita ambil langkah penjagaan sumber air dan mampu guna semula kepada empat juta liter padu setiap tahun dan tahun depan kita sasar peningkatan 50 peratus kepada enam juta liter padu,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewartakan ZDP dalam usaha mengatasi isu enap cemar dan penurunan kualiti sumber air.

Peraturan baharu itu menekankan kawalan pelepasan air kembalian ke sungai mengikut tatacara operasi piawaian (SOP).

Selangorkini

Link: https://selangorkini.my/2024/09/top-glove-syarikat-pertama-dapat-lesen-dasar-pelepasan-sifar/

More News